fb fb fb fb fb

Fadillah Yusof kongsi detik cemas gegaran gempa bumi di Turkiye

Fadillah Yusof dan rombongan diarahkan keluar dari Terminal VIP Lapangan Terbang Istanbul susulan gegaran gempa bumi magnitud 6.2 yang melanda Turkiye/Foto Facebook Fadilah Yusof

KUALA LUMPUR, 24 April - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkongsi detik cemas yang dialaminya bersama rombongan ketika berdepan gegaran gempa bumi bermagnitud 6.2 di Istanbul, Turkiye, semasa berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk berlepas ke London bagi meneruskan lawatan kerja.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan ketika kejadian, beliau dan rombongan diarahkan keluar dari bangunan Terminal VIP sebagai langkah berjaga-jaga selepas gegaraan pertama yang disifatkan agak kuat.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, selepas kira-kira 15 minit, mereka dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan, namun merasai gegaraan kedua tidak begitu kuat, memaksa semua keluar sekali lagi selama 10 minit.

“Alhamdulillah, saya dan rombongan selamat tiba di London dari Istanbul pada pukul 4.00 petang waktu tempatan, setelah mengakhiri lawatan kerja rasmi tiga hari di Turkiye.

"Terima kasih kepada semua yang bertanyakan khabar saya dan mendoakan kami susulan gempa bumi yang berlaku di Turkiye,” katanya.

Beliau memaklumkan penerbangan dari Istanbul ke Gatwick Airport berlepas seperti dijadualkan pada 2.20 petang waktu Turkiye.

Selepas menamatkan lawatan kerja rasmi di Turkiye, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Masa Depan Keselamatan Tenaga di London pada 24 dan 25 April yang dianjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bersama kerajaan United Kingdom (UK).

Gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul dan kawasan sekitarnya semalam telah menyebabkan sekurang-kurangnya 236 orang cedera.

Kebanyakannya akibat panik dan terjun dari bangunan.

Semalam, tiga gempa bumi dilapor menggegarkan Istanbul, Turkiye dan kawasan sekitar berukuran mencecah 6.2 magnitud.

Media antarabangsa melaporkan gegaran pertama dilaporkan berukuran 3.9 magnitud melanda kawasan pantai daerah Silivri pada pukul 12.13 tengah hari, waktu tempatan.

Ia disusuli dengan gempa kedua berukuran 6.2 magnitud di kawasan sama, sebelum gegaran 4.4 magnitud melanda daerah Buyukcekmece.

Pusat gempa terletak di Laut Marmara, kira-kira 40 kilometer barat daya Istanbul, dengan kedalaman sekitar 10 kilometer.

Pada 6 Februari 2023, Turkiye dan Syria telah dilanda gempa bumi dahsyat 7.8 magnitud, mengorbankan lebih 59,000 nyawa di kedua-dua negara itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN