PUTRAJAYA, 24 APRIL – Malaysia dan Republik Uganda meneroka peluang kerjasama dalam penyelidikan ternakan serta pembangunan sistem penternakan yang mampan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata inisiatif itu turut merangkumi pemodenan pertanian tanaman, industri perikanan dan akuakultur, selain pembangunan kapasiti menerusi latihan bagi pegawai pertanian, perikanan dan veterinar.
"Ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua negara bagi sektor pertanian.
“Kerjasama ini penting untuk memastikan sektor pertanian kedua-dua negara terus berkembang dengan bertukar-tukar maklumat serta melaksanakan penyelidikan bersama dalam bidang yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan akses pasaran produk Malaysia ke Uganda, termasuk produk vaksin haiwan serta peluang kerjasama penyelidikan perubahan iklim dan pemanasan global.
Semalam, Arthur menerima kunjungan hormat Menteri Negara bagi Industri Haiwan Uganda, Bright Rwamirama, di Putrajaya.
Delegasi Uganda berada di Malaysia sempena lawatan rasmi untuk menghadiri Pearl of Africa Business Forum and Expo yang berlangsung selama dua hari pada 23 April di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi dan pegawai kanan kementerian.