KUALA LUMPUR, 11 Mei- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan projek penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Dron berkenaan antara yang menjadi tarikan utama di reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai projek berimpak tinggi kepada komuniti khususnya di kawasan pedalaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan majlis penutupan PMR 2025 Sabah hari ini turut berkesempatan mengunjungi reruai NADI dan menyaksikan dron berkenaan.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif penghantaran ubat ke NADI menggunakan dron bakal dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) selaku rakan utama dan rakan strategik seperti MRANTI serta penyedia teknologi dron tempatan.
"Inisiatif ini adalah projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih.
"Inisiatif ini juga bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk kawasan pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai jalan perhubungan yang baik," menurut kenyataan itu.
Fasa pertama penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron dijangka dilaksanakan pada suku keempat tahun ini melibatkan dua NADI sebagai projek rintis.
"Projek ini menyokong agenda pengembangan inisiatif kerajaan sedia ada dengan penumpuan kepada akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti dan saksama kepada komuniti luar bandar melalui teknologi, seiring dengan perkembangan dan ketersediaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan," tambah kenyataan itu.
Projek berkenaan juga akan diperluaskan ke 150 NADI pada tahun 2026 dan seterusnya ke 392 NADI menjelang 2027.
Reruai NADI turut menampilkan pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar merangkumi lima teras utama iaitu keusahawanan, kesihatan, pembelajaran sepanjang hayat, kesedaran IT serta perkhidmatan kerajaan.
Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah berlangsung selama tiga hari bemula 9 Mei lalu hingga hari ini di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.