fb fb fb fb fb

MCMC lancar Pelan Hala Tuju Strategik Teknologi Komunikasi dan Multimedia 2025–2030

Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 12 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik Teknologi Komunikasi dan Multimedia 2025–2030 (MyTMAP2030), yang bertujuan untuk mempercepat kemajuan digital dan inovasi negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan pelancaran itu berlangsung sempena Bengkel Bridging the Standardisation Gap (BSG) mengenai Piawaian dan Tadbir Urus AI anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan MCMC di Kuala Lumpur dari 9 hingga 12 September 2025.

“MyTMAP2030 bertujuan memanfaatkan teknologi baharu, memacu inovasi, dan mempercepat penggunaan digital di seluruh negara,” kata MCMC dalam kenyataan.

“Piawaian dan tadbir urus AI adalah asas kepada kepercayaan, kerjasama dan keterangkuman dalam masa depan digital kita.

"Melalui bengkel ini dan pelancaran MyTMAP2030, Malaysia menegaskan komitmennya untuk membangunkan AI yang bertanggungjawab, beretika dan memberi impak positif kepada rantau ini dan seterusnya.”

Bengkel ITU–MCMC BSG menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia, pemimpin industri dan pakar teknikal dari seluruh Asia-Pasifik bagi memperkukuh kerjasama dalam piawaian AI, rangka kerja tadbir urus serta transformasi digital serantau.

Selain sesi panel peringkat tinggi, bengkel turut merangkumi program pembinaan kapasiti berkaitan aktiviti AI, proses penyeragaman, kajian kes serta kafe inovasi yang memberi ruang peserta meneroka aplikasi AI praktikal bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Peserta turut menyertai pelbagai sesi pembangunan kapasiti berfokuskan kerja ITU dalam piawaian berkaitan AI, proses standardisasi global dan matlamat program BSG.

Sesi berkenaan dilengkapi kajian kes serta “Innovation Café” yang menawarkan pandangan praktikal tentang bagaimana AI boleh menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Sementara itu, Pengarah Biro Standardisasi Telekomunikasi ITU, Seizo Onoe, menekankan kepentingan piawaian antarabangsa dalam menyokong inovasi.

“Piawaian ITU membantu dunia untuk terus berinovasi dan melabur dalam pembangunan digital. Kami membina kepakaran dan kapasiti agar semua pihak dapat merealisasikan nilai ini melalui program Bridging the Standardisation Gap dan inisiatif seperti AI Skills Coalition.

"Saya berterima kasih kepada Malaysia atas komitmennya terhadap usaha ini di dalam negara dan juga di seluruh Asia-Pasifik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr Cosmas Luckyson Zavazava, turut menegaskan pentingnya kerjasama serantau.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen ITU untuk menyokong negara-negara di rantau Asia-Pasifik dalam memperkukuh kapasiti berkaitan kecerdasan buatan dan piawaian, merapatkan jurang standardisasi serta memupuk ekosistem digital inklusif.

"Kami berterima kasih kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun atas sokongan mereka, serta rakan-rakan serantau termasuk MCMC. Bengkel ini akan membawa manfaat besar dalam memastikan kelebihan AI dapat dikongsi secara meluas, sekali gus memperkukuh sektor telekomunikasi dan ICT di Asia-Pasifik,” katanya.

MCMC menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan kolaboratif dalam kecerdasan buatan dan teknologi baharu, seiring usaha Malaysia mendepani inovasi digital dan tadbir urus di rantau ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD