fb fb fb fb fb

Aktif bersama komuniti, belia disaran lebih progresif

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 September - Golongan Belia digesa untuk lebih aktif dan progresif dalam menyumbang kepada pembangunan negara melalui penglibatan bersama komuniti setempat.

Menurut Pegawai Komuniti Team Selangor, Ubaidah Basit, penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membentuk kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat secara langsung.

Antara inisiatif yang dianjurkan termasuk program e-sukan, aktiviti riadah seperti mendaki, serta konvoi yang menghubungkan belia dengan masyarakat.

Usaha ini diyakini mampu memupuk semangat patriotisme yang sebenar dalam kalangan generasi muda.

“Matlamat besar kami adalah untuk membangunkan belia yang progresif, aktif dan bersedia membantu komuniti.

"Apabila mereka turun bersama masyarakat, mereka bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah setempat tetapi juga memberi manfaat kepada orang sekeliling dan inilah sebenarnya semangat patriotisme, iaitu memberi nilai tambah kepada orang lain,”katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, Team Selangor akan menganjurkan Konvoi Santai Anak Muda pada 20 September ini, melibatkan penyertaan belia dari seluruh zon sebelum berkumpul di Kuala Kubu Bharu.

Terdahulu, Team Selangor turut menganjurkan program berbentuk kemerdekaan melibatkan tujuh kampung dengan penyertaan anak muda, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dan kesedaran komuniti.

Trainee