SHAH ALAM, 12 September – Sempena Sambutan Hari Malaysia 2025, Stesen radio NASIONALfm mengambil inisiatif menganjurkan program khas Radio Di Lokasi "Tiga Suara Di Mana?" yang bersiaran secara langsung dari Stesen Udara Maritim Subang.
Program yang bermula pada pukul 7 pagi hingga 10 pagi itu merupakan kerjasama strategik antara NASIONALfm dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi menghargai pengorbanan serta dedikasi petugas barisan hadapan.
Pengurus NASIONALfm, Salbiah Mohd Sharif berkata, penganjurannya tidak sekadar menghargai wira negara, malah membawa pendengar lebih dekat dengan peranan Maritim Malaysia.
“Program Tiga Suara Di Mana ini kita adakan sempena Hari Malaysia 2025 sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang sentiasa berkorban masa dan tenaga untuk mempertahankan negara.
"Kali ini kita tampilkan secara eksklusif peranan Maritim Malaysia dari udara yang jarang diketahui masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, NASIONALfm menjadi stesen radio pertama di Malaysia yang menyiarkan secara langsung dari Stesen Udara Maritim Subang, sekali gus memberi peluang kepada pendengar memahami dengan lebih jelas tugas sebenar agensi tersebut.
Sementara itu, Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten Maritim Mohd Ikmal Ridzuan menyifatkan, program itu sebagai usaha bersama yang dapat memperkenalkan fungsi, peranan dan kerjaya Maritim Malaysia kepada umum.
“Hubungan strategik dengan RTM dan NASIONALfm bukan sahaja membantu mempromosikan fungsi Maritim Malaysia, malah membuka peluang kepada rakyat untuk lebih mengenali kerjaya dalam agensi ini.
"Pada masa yang sama, kami mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dan berharap perpaduan antara kaum terus diperkukuh demi kemajuan negara,” katanya.
Program Radio Di Lokasi - Tiga Suara Di Mana? ini merupakan penganjuran edisi ketujuh NASIONALfm bagi tahun 2025, dengan misi mendekati masyarakat secara lebih menyeluruh melalui pengisian santai, informatif dan patriotik.