KUALA LUMPUR, 14 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan lawatan ke 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberi penerangan kepada pemilik serta petugas kedai mengenai keperluan pemerakuan dan label MCMC pada setiap peranti.
Menurut MCMC, ia membantu mereka memahami langkah yang diambil bertujuan untuk memastikan peranti adalah selamat, asli, mematuhi standard serta serasi dengan rangkaian dan tidak mengganggu frekuensi.
Lawatan tersebut dijalankan di bawah program ”Direct Engagement” dari Jun 2024 sehingga November 2025.
"MCMC mengingatkan bahawa perbuatan menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan atau label MCMC adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sepanjang pelaksanaan aktiviti ini, maklum balas yang diterima daripada para peniaga adalah sangat positif dan mereka telah menyatakan komitmen, menyambut baik pendekatan turun padang MCMC dan akan mematuhi keperluan pemerakuan dan pelabelan peranti komunikasi seperti yang telah ditetapkan.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin serta memelihara integriti rangkaian komunikasi negara dengan memastikan hanya kelengkapan komunikasi yang mematuhi standard dijual di pasaran," menurut kenyataan itu.
Tambah MCMC, pengguna digalakkan untuk berbelanja dengan yakin, dengan hanya membeli peranti yang diperakui dan mempunyai label MCMC.
"Untuk memudahkan semakan status pemerakuan, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL) yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store.
"Pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID MCMC, nombor IMEI atau nombor siri bagi mendapatkan status pemerakuan dan maklumat peranti untuk memastikan produk tersebut sah serta mematuhi standard yang ditetapkan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cyl.gov.my," menurut kenyataan itu.