KUALA LUMPUR, 14 November - Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa 15 November 2025 (Sabtu).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengumumkan perkara itu menerusi hantaran Facebook.
Pelantikan Datuk Fadlun, 58, bagi menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
"Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat. Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa. Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara," menurut kenyataan itu.
Datuk Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Sebelum pelantikan itu, beliau telah menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2022. Beliau telah menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian dalam tempoh tersebut.
Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.
Selain itu, beliau turut aktif dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar berwawasan dan berpandangan jauh.