IPOH, 14 November - Seorang anggota polis cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Lorong Bercham 1, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian berlaku ketika Konstabel Muhammad Jasrol Aiman, sedang menjalankan tugas sebelum menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun.
Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak melarikan diri, sebelum kenderaan itu didakwa menghimpit motosikal mangsa, menyebabkan beliau terjatuh di atas jalan.
Hasil saringan hembusan nafas EBA-II mendapati suspek mempunyai kandungan alkohol 200 miligram per 100 mililiter darah, melebihi had yang dibenarkan.
Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan, manakala pemandu SUV ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.