NILAI, 26 September - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memastikan keselamatan serta integriti infrastruktur komunikasi menerusi program Walkabout Keselamatan dan Integriti Infrastruktur DUN Nilai.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, terdapat sebanyak 128 infrastruktur komunikasi mudah alih beroperasi di DUN Nilai dengan capaian liputan internet mudah alih di kawasan berpenduduk mencecah 99.99 peratus.
Jelasnya, kemudahan infrastruktur telekomunikasi itu perlu dipelihara, dan MCMC berusaha menyelesaikan isu capaian internet di kawasan yang menerima aduan.
“Orang ramai tidak boleh melakukan vandalisme atau menceroboh kawasan infrastruktur ini kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi sekiranya berlaku kerosakan besar. Justeru, objektif program ini adalah memberi maklumat kepada masyarakat supaya bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kemudahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai program Walkabout Keselamatan dan Integriti Infrastruktur DUN Nilai.