PUTRAJAYA, 26 September - Kerajaan menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan petani dan nelayan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu berkenaan tidak mampu ditangani oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Pasar Tani Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Presint 4, di Putrajaya/Foto Bernama
“Penyelesaian masalah petani ini bukan sahaja dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mesti dengan Jabatan Pertanian, mesti dengan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan mana-mana kaedah serta badan dan agensi yang boleh menyelaras.
"Apa yang dilakukan FAMA dan Kementerian Pertanian itu penting kerana bila harga terjamin, kita boleh tekankan supaya pengeluaran bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Pasar Tani Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Presint 4, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan peranan KPKM amat penting dalam memastikan pengeluaran hasil tanaman dan ternakan negara terus dipertingkat.