fb fb fb fb fb

ASEAN–Kanada komited percepat rundingan ACA-FTA, sasar dimuktamad akhir 2026

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 26 September - ASEAN dan Kanada komited mempercepatkan Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Kanada (ACA-FTA) yang disasarkan dimuktamadkan selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, selaku Pengerusi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM), berkata ketika ini kedua-dua pihak sedang memperhalusi butiran perjanjian termasuk isu-isu yang menjadi kepentingan setiap negara anggota.

“Setiap negara ASEAN mempunyai pandangan dan fokus berbeza. Jadi dengan 10 negara, tidak mudah untuk mencapai kesepakatan. Namun, kita mahu pastikan ACA-FTA relevan untuk semua. Oleh itu, ia memerlukan lebih masa, khususnya bagi negara yang tidak menyertai CPTPP,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Rundingan Kanada ke-14, hari ini.

Tengku Zafrul menegaskan rundingan ACA-FTA berlangsung dalam landskap ekonomi global yang sedang berdepan perubahan besar akibat persaingan geoekonomi, langkah perlindungan baharu serta pengaturan semula rantaian bekalan.

“ASEAN perlu kekal sebagai rakan kongsi yang diyakini dan berpandangan jauh, khususnya bagi negara sehaluan seperti Kanada. ACA-FTA bukan sekadar tentang perdagangan, tetapi juga menjamin masa depan bersama yang mampan dan kompetitif,” katanya.

Beliau turut menyatakan, dengan status Kanada sebagai Rakan Strategik ASEAN sejak 2022, hubungan dua hala kini berada pada tahap lebih tinggi termasuk melalui penyediaan Rancangan Kerja Perdagangan dan Pelaburan baharu bagi tempoh 2026–2030.

Sementara itu, Setiausaha Parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Setiausaha Negara Kanada, Yasir Naqvi, berkata kerajaan baharu Kanada di bawah pimpinan Perdana Menteri Mark Carney komited memperkukuh kerjasama dengan ASEAN dalam bidang tenaga bersih, keselamatan makanan, ekonomi digital dan teknologi hijau.

Menurut beliau, ACA-FTA berpotensi meningkatkan KDNK Kanada sebanyak AS$2.54 bilion serta KDNK ASEAN sebanyak AS$6 bilion.

“Kanada mahu menjadi rakan dagang yang boleh dipercayai dan kami yakin hubungan strategik ini akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak,” katanya.

Mesyuarat turut mendengar pembentangan daripada Majlis Perniagaan Kanada–ASEAN (CABC) mengenai peranan sektor swasta dalam memperkukuh hubungan dagangan dua hala.

Yasir turut mengesahkan kehadiran Perdana Menteri Kanada ke Malaysia pada Oktober depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lawatan sulung beliau ke Asia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE