KOTA KINABALU, 26 September - Seramai 219 penduduk terjejas bencana di Sabah menerima bantuan kewangan melalui Program Ihsan Komuniti MADANI anjuran Kementerian Komunikasi bersama agensi berkaitan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata inisiatif itu sebahagian tanggungjawab sosial kementerian selaras prinsip kesejahteraan dan ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI.
"Saya harap sedikit sebanyak ini dapat meringankan beban dan saya juga telah mengambil kesempatan untuk mendengar sendiri beberapa isu yang mereka hadapi.
"Saya juga akan memberi sedikit taklimat kepada Perdana Menteri sewaktu beliau tiba di Kota Kinabalu pada tengah hari nanti. Jadi kami akan membuat beberapa lawatan ke lokasi yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru in," katanya.
Bantuan melibatkan 160 ahli komuniti MADANI dari Penampang, Beaufort, Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran, selain 56 penerima daripada warga jabatan dan agensi bawah kementerian serta tiga penerima dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Dalam perkembangan berkaitan, 11 menara telekomunikasi yang terjejas akibat bencana di Sabah dikenal pasti untuk dinaik taraf segera, termasuk pemasangan generator, solar dan bateri.
Datuk Fahmi turut mengumumkan kenderaan komunikasi mudah alih PRIME akan diperluaskan ke Sarawak tahun depan, bagi memastikan akses internet dan komunikasi lapangan lebih terjamin ketika krisis.
Beliau menegaskan, usaha tersebut membuktikan komitmen kerajaan memastikan rakyat sentiasa terhubung walaupun berdepan cabaran bencana alam.