fb fb fb fb fb

MCMC kemuka permohonan turun kandungan berkitan kes Zayn Rayyan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram, untuk menurunkan kandungan yang didakwa memaparkan maklumat siasatan yang dibocorkan berkaitan kes kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, suruhanjaya itu telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat tersebut.

Penyebaran itu disifatkan sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes.

"Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk memadam hantaran atau sebarang komen yang boleh menimbulkan spekulasi dan MCMC memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu," katanya.

Berikutan itu tular di media sosial berkenaan kandungan yang didakwa maklumat siasatan kes Zayn Rayyan dan ia mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna.

Bagaimanapun menurut MCMC, berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu boleh menjadi satu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, serta denda lanjutan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI