fb fb fb fb fb

11 mangsa terima rawatan bagi jangkitan salmonella

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA SELANGOR, 15 Jun- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan seramai 11 mangsa masih menerima rawatan bagi jangkitan bakteria salmonella susulan kes keracunan makanan di Gombak Sabtu lepas.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan simptom yang serius.

"Sehingga kini apa yang disebutkan salmonella tetapi lanjutan daripada yang selain yang dimasukkan ke wad belum diperolehi secara terperinci.

"Tetapi buat masa ini keracunan salmonella," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pek Kasih Mama di sini.

Pada 11 Jun lepas, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas mengambil sarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa serta rasa.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly juga menggesa semua platform e-dagang supaya mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan agensi berkaitan dalam memasarkan barangan perubatan, kesihatan atau produk kecantikan kepada pengguna.

Pada masa sama beliau juga menegaskan KKM tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar memasarkan produk menyalahi undang-undang serta tidak mematuhi peraturan yang berpotensi membawa risiko kesihatan dan keselamatan kepada pengguna.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI