fb fb fb fb fb

MCMC jalin kerjasama dengan Felda, MMA, MPS bagi galakkan pendigitalan

Sesi pertukaran MoU itu disaksikan oleh Menteri KKD, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri KKD,Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

PUTRAJAYA, 29 November- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperkukuhkan kerjasama dengan tiga rakan strategik menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dan pemerkasaan komuniti.

Majlis pertukaran tiga MoU yang dimeterai MCMC bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) berlangsung sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) MADANI 2023 di sini hari ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil , MoU tersebut bakal merancakkan lagi pendigitalan di klinik dan farmasi komuniti swasta melalui Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Kertas Putih Perubatan.

“Harapan saya ia akan dapat meningkatkan pendigitalan dan meningkatkan keterlibatan lebih ramai dalam masyarakat dalam bidang ekonomi digital,” katanya.

Fahmi berkata ketiga-tiga MoU itu bertujuan untuk meningkatkan penggunaan pendigitalan atau ketersambungan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata apa yang diharapkan adalah penggunaan 150 PEDi di skim-skim Felda sebagai contoh dapat dimaksimumkan untuk membantu warga Felda terlibat dalam ekonomi digital.

Sesi pertukaran MoU itu melibatkan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, Pengarah Komunikasi Strategik Felda Mastura Abdul Manaf, Setiausaha Agung Kehormat MMA Datuk Dr R. Thirunavukarasi dan Presiden MPS Prof Amrahi Buang.

Majlis itu turut disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

ZEHRA BINTI ZAMBRI