fb fb fb fb fb

Enam pelajar Malaysia ukir nama di Olimpiad Astronomi Antarabangsa 2023

Para peserta IAO 2023 bersama ketua pasukan/Foto ArdentEdu

KUALA LUMPUR, 29 November –Nama Malaysia sekali lagi terpahat dalam sejarah Olimpiad Astronomi Antarabangsa (IAO) 2023 yang berlangsung baru-baru ini apabila empat daripada enam pelajar Malaysia memperoleh pingat gangsa, manakala salah seorang daripada mereka turut memperoleh Anugerah Pelukis Terbaik.

Mereka ialah Liew Ze Wei, Lucas Cheah Hoe Yeen, dan Yahaya bin Basiron yang memenangi pingat gangsa, manakala Ng Kin Him dari Kolej Matrikulasi Kuantan tidak hanya memenangi pingat gangsa tetapi turut dinobat sebagai penerima Anugerah Lukisan Terbaik.

Kejayaan mereka membuktikan pemahaman yang luar biasa mengenai konsep astronomi.

Olimpiad tahunan itu diadakan di Beijing, China menyaksikan para peserta dari sembilan buah negara bersaing merebut pingat emas sebagai hadiah utama.

Kejayaan pasukan Malaysia membawa pulang kejayaan membanggakan itu, sekali gus mengekalkan legasi kecemerlangan negara dalam pertandingan tersebut selama lima tahun berturut-turut.

Tahun ini, Malaysia diwakili enam pelajar cemerlang iaitu Liew Ze Wei, 18 tahun, Evan Lim Hong Yan (15), Yahaya bin Basiron (16), Lucas Cheah Hoe Yeen (14), Ng Kin Him (18), dan Thum Tze Qian (14).

Kejayaan mereka juga banyak dibantu tenaga pengajar Mohammad Afiq Dzuan Mohd Azhar, dari ArdentEdu, sebuah konsultasi pendidikan yang banyak membantu daripada segi latihan dan persiapan sebelum ke pentas pertandingan.

Penyertaan IAO disyaratkan untuk pelajar daripada lingkungan umur 14 hingga 18 tahun, bertujuan merangsang imaginasi, kreativiti, dan pemikiran secara mandiri para pelajar melalui tugasan penyelesaian masalah yang mencabar minda.

2911 OLIMPIAD ASTRONOMI2
Para peserta ketika berada di Beijing, China/Foto ArdentEdu

Ujian tersebut merangkumi teori, pemerhatian, dan amali, masing-masing berlangsung selama empat jam. Meskipun ujian tersebut mencabar minda, pasukan Malaysia menunjukkan kecekalan dan keazaman amat membanggakan sepanjang pertandingan.

Bagi Liew Ze Wei dan Lucas Cheah Hoe Yeen mereka amat menekankan kepentingan dedikasi dan penyesuaian diri dengan persekitaran baharu, sekali gus membolehkan mereka menempa kejayaan.

Kemenangan di IAO 2023 juga telah mencetuskan aspirasi baharu kepada para “astronomer” muda ini. Lucas bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti teknologi terkemuka dunia, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan seterusnya berazam mahu memenangi Hadiah Nobel, manakala Ng Kin Him pula memasang impian untuk mendalami bidang astrofizik di peringkat pengajian tinggi sama ada dalam mahupun luar negara.

Mohammad Afiq selaku ketua pasukan Malaysia turut menyuarakan harapan ArdentEdu selaku penyelaras IAO Malaysia untuk pertandingan 2024.

“Kami amat berharap dapat menghantar lebih ramai pelajar dan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pingat untuk Malaysia. Ini bagi mencerminkan komitmen negara dalam membina bakat-bakat muda dalam bidang astronomi”, jelasnya.

BACA JUGA
Lapan pelajar terbaik jalani kem latihan Olimpiad Astronomi Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI