KUALA LUMPUR, 21 Julai- Seramai lapan pelajar terbaik terpilih untuk menjalani Kem Latihan Olimpiad Astronomi Malaysia (MyAO) yang diadakan di Cosmos PIXO, Tech Dome, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kem tersebut bertujuan memberi latihan dan persediaan dalam memilih lima pelajar terbaik untuk mewakili Malaysia ke Olimpiad Astronomi Antarabangsa (IAO) ke-27 yang akan diadakan pada Oktober nanti.
Dalam sesi latihan tersebut, para pelajar didedahkan dengan latihan berbeza seperti teoretikal, amali dan pembelajaran cerapan.
Pengerusi Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang (ASP), Dr. Chong Hon Yew antara yang turut berkongsi ilmu berkaitan, khususnya mengenai sfera cakerawala.
Pelajar juga diberikan pengetahuan asas tentang teleskop membolehkan mereka berpeluang mencerap bulan dan bintang, selain mempelajari konsep fotometrik bagi melakukan aktiviti cerapan matahari.
Pada sesi latihan itu juga mereka didedahkan tentang sistem suria dan latihan teleskop serta diberikan penerangan tentang sistem bintang, kosmologi dan pengukuran jarak bersudut.
Kem latihan itu dilihat mencapai matlamat utama MyAO untuk menarik minat para pelajar sekolah menengah dalam bidang astronomi dan astrofizik.
Sepanjang latihan juga, para pelajar memperlihatkan kemahiran masing-masing di samping bertukar-tukar buah fikiran dalam memperkukuhkan minat mereka dalam bidang astronomi.