(Pemenang pingat emas 2022 bersama Pengarah Kangaroo Math Malaysia Encik Suhaimi
Ramly dan Timbalan Pengarah Encik Iznan Shamsuddin/Foto Ardentedu)
KUALA LUMPUR, 21 Julai –Pertandingan matematik terbesar dunia, Kangaroo Math kembali dengan tahun ini menyaksikan penyertaan tertinggi sejak penganjuran pertama pada tahun 2013.
Seramai 47,715 pelajar dari 1,672 buah sekolah seluruh negara menyertai pertandingan tersebut bagi mencari peserta yang akan mewakili negara ke peringkat dunia.
Pertandingan yang dikenali sebagai Hari K atau K-Day itu diadakan serentak di semua sekolah yang menyertainya di seluruh negara pada 18 Mei lalu.
Selaras matlamat pertandingan untuk mendedahkan murid dengan soalan matematik yang digubal oleh pasukan pendidik matematik antarabangsa, Kangaroo Math mewajibkan peserta sama ada pelajar sekolah rendah dan menengah menjawab 20 hingga 24 soalan aneka pilihan (objektif) matematik; merangkumi topik Algebra, Teori Nombor, Geometri dan Logik.
Ke semua soalan dirangka menepati Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT); mensyaratkan tiada kalkulator atau bahan rujukan dibenarkan semasa menjawab soalan.
Pertandingan ini juga dianjurkan begi memperkenalkan aktiviti pengayaan matematik kepada guru dan murid di Malaysia selain membolehkan para pelajar mengaplikasikan pengetahuan matematik yang mereka pelajari di sekolah.
Selangor catat penyertaan sekolah tertinggi
Daripada 1,672 sekolah berdaftar untuk menyertai Kangaroo Math, Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 316 buah sekolah, diikuti Johor (213 buah sekolah), Perak (193), Sarawak (180) dan Pulau Pinang (150).
Tiga sekolah pula mencatatkan penyertaan murid terbanyak iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba; disertai seramai 338 murid, SJKC Chong Cheng, Bayan Lepas (268) dan International Modern Arabic School (242).
Murid bakal terima pingat
Sebagai galakan dan penghargaan atas penyertaaan, kira-kira 10% daripada keseluruhan peserta bakal menerima pingat emas, perak dan gangsa bagi pertandingan Kangaroo Math tersebut.
Dijangka, 763 pelajar bakal menerima pingat emas, 1,596 bakal menerima pingat perak manakala 2,268 pelajar akan menerima pingat gangsa.
(Para peserta dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban menjawab
soalan Pertandingan Kangaroo Math pada 18 Mei 2023 lalu/Foto Ardentedu)
Ke semua penerima pingat emas akan dirai dalam satu majlis penyampaian anugerah pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Manakala peserta terbaik Kangaroo Math akan diundang untuk menyertai Ujian Pemilihan Kebangsaan bagi Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMONST) dan peserta terbaik akan mewakili negara ke Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO).
Ke semua peserta pula akan menerima sijil penyertaan ditandatangani Pengerusi Association Kangourou Sans Frontieres (AKSF), Cik Meike Akveld dan Pengarah Kangaroo Math Malaysia, Encik Suhaimi Ramly.
Pertandingan Kangaroo Math merupakan Pertandingan matematik terbesar dunia dengan penyertaan lebih 4 juta peserta dari 96 buah negara seluruh dunia. Di Malaysia, pertandingan ini dianjurkan oleh Kangaroo Math Malaysia, bawah kendalian Ardent Education Consultations SB.