fb fb fb fb fb

MCMC berhak ambil tindakan berdasarkan aduan diterima

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

JOHOR BAHRU, 17 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhak mengambil tindakan dan membuka kertas siasatan berdasarkan laporan yang diterima, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh MCMC berlandaskan undang-undang dan bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

“Dalam kes membabitkan pempengaruh media sosial (Aliff Ahmad), tak semestinya Nurul Izzah Anwar yang membuat laporan, mungkin ada laporan daripada orang lain. Mungkin ada laporan daripada pihak lain, itu saya tidak pasti.

"Namun, jika ada aduan dan MCMC merasakan ada keperluan, mereka memang berhak untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat, di sini hari ini.

Mengulas pandangan sesetengah pihak yang menganggap tindakan memanggil pempengaruh tersebut sebagai agak keras, Teo berkata MCMC wajar memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“Saya juga berpandangan bahawa MCMC perlu tampil memberikan penjelasan mengapa individu tersebut dipanggil. Jika selepas siasatan mendapati ada kes, maka ia akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Aliff Ahmad dipetik mendakwa dipanggil MCMC selepas dipercayai menawarkan diri untuk melakukan semakan latar belakang atau “scrut” terhadap kerja dan sumber pendapatan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Aliff mendakwa akan menjalankan semakan tersebut sekiranya menerima 20,000 perkongsian daripada warganet.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE