fb fb fb fb fb

DAP hormat pilihan PKR, kekal jalin kerjasama – Teo Nie Ching

Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching

KULAI, 17 Mei – DAP menghormati proses pemilihan kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akan terus mengekalkan hubungan kerjasama erat bersama parti itu.

Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching berkata hubungan antara kedua-dua parti kekal utuh meskipun PKR berdepan kemungkinan perubahan wajah kepimpinan selepas Kongres Nasional PKR hujung Mei ini.

"Semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan serta penghormatan terhadap prinsip demokrasi diamalkan PKR.

“Kerjasama ini penting demi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan agenda pembangunan negara secara bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di Dewan Serbaguna, Taman Mewah di sini, hari ini.

Teo turut yakin proses pemilihan parti itu akan berjalan lancar berasaskan tradisi politik matang dalam kalangan kepimpinan dan ahli PKR.

“Saya rasa pemilihan parti itu adalah sesuatu yang biasa. Yang penting ialah semangat Madani yang ingin kita angkat. Kita mahu wujudkan Malaysia yang progresif dari segi ekonomi dan infrastruktur, serta masyarakat yang inklusif dan harmoni,” katanya.

Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini bakal mencatat sejarah sebagai perhimpunan terbesar parti itu sejak ditubuhkan pada 1999.

Setiausaha Agung PKR, Senator Dr. Fuziah Salleh sebelum ini memaklumkan seramai lebih 9,000 perwakilan daripada 222 cabang seluruh negara dijangka menyertai kongres berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN