PUTATAN, 17 Mei- Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.11 bilion tahun ini bagi pembangunan luar bandar Sabah.
Ia meliputi Projek Ameniti Sosial, pembinaan jalan luar bandar, jambatan kecil, bekalan elektrik dan sistem air alternatif.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek dilaksana menerusi program berimpak tinggi yang menyeluruh di negeri itu demi menangani jurang seperti infrastruktur asas, akses ekonomi, pendidikan serta digitalisasi luar bandar.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berucap demikian pada Majlis Penutupan Sentuhan Kasih Desa MADANI Bersama Pimpinan di sini malam ini.
KKDW turut memperuntukkan RM1.06 juta untuk program pembangunan komuniti dan keusahawanan, serta RM1.27 juta untuk pendidikan kemahiran yang memberi manfaat terus kepada penduduk Sabah.