PAPAR, 17 Mei- Program Toleransi Sifar Keganasan di bawah Program Kembara Kasih 2025, diteruskan ke daerah Papar.
Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu meningkatkan kesedaran awam mengenai isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita KPWKM, Hanani Sapit, program itu menekankan advokasi garis panduan antigangguan seksual serta perkhidmatan psikososial yang disediakan kementerian berkenaan.
"Jadi, untuk itulah juga tujuan advokasi kita ini. Kita mahukan lebih ramai pihak menyedari tentang hak-hak mangsa keganasan rumah tangga, dan juga dapat menyediakan pemadanan kepada apa yang mereka perlukan.
"Contohnya, pemadanan daripada segi bantuan seperti yang saya nyatakan tadi, mereka mungkin ada kes, tetapi menyatakan bahawa mereka tidak berani untuk pulang ke rumah tersebut.
"Situasi ini boleh menyebabkan tekanan daripada segi mental atau psikososial," katanya.
Beliau ditemui RTM dalam Program Kembara Kasih KPWKM 2025 di Papar.
Setakat tahun lalu, sejumlah 7,116 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh Malaysia, dengan 551 kes daripadanya dicatatkan di Sabah.
Daripada jumlah tersebut, 78 peratus merupakan mangsa wanita, dan selebihnya mangsa lelaki.