IPOH, 17 Mei - Lapan rumah di Lebuh Rajawali, Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, di sini rosak akibat hujan lebat dan ribut petang tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kinta memaklumkan kejadian kira-kira 5 petang itu turut mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin kencang.
"Pihak APM menerima panggilan kecemasan pada 5.53 petang dan menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa akibat kejadian itu," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian ribut turut mengakibatkan empat daripada lima individu cedera dihempap bumbung garaj yang runtuh di Jalan St John, di sini.
Beliau berkata anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih digegaskan ke lokasi dengan dibantu anggota BBP Ipoh selepas menerima maklumat kejadian pada 5.45 petang.
“Ketika kejadian, semua mangsa sedang berteduh. Tiga lelaki cedera ringan, manakala seorang lagi lelaki patah tangan kanan. Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata kejadian ribut di bandar raya ini turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta Perodua Viva di Jalan Raja Ashman berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun.
"Bomba terima panggilan kecemasan pada 5.52 petang dan tiba di lokasi empat minit kemudian. Dua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak bomba telah melaksanakan pembersihan kawasan," katanya. - BERNAMA