fb fb fb fb fb

OP Kutip: JIM serbu Jalan TAR, 143 PATI ditahan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Seramai 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Kutip di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, petang tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha berkata, dalam operasi tersebut 964 individu diperiksa, terdiri daripada 273 orang warga asing dan 691 rakyat tempatan.

Operasi selama dua jam itu bermula pada pukul 2.30 petang dan melibatkan 106 pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Daripada keseluruhan yang diperiksa, seramai 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63. Mereka terdiri daripada 24 lelaki dan 32 wanita warga Indonesia, 26 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga India, 10 lelaki warga Myanmar, tiga lelaki warga Nepal, 32 lelaki warga Pakistan, empat lelaki warga Syria, seorang wanita warga China, dan seorang lelaki warga Afghanistan. Secara keseluruhannya, tangkapan melibatkan 110 lelaki dan 33 wanita," katanya kepada pemberita.

Kesemua tahanan berumur antara 22 hingga 48 tahun dan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Jafri berkata, JIM menyambut baik perlanjutan pelaksanaan Program Rekalibrasi Migran (PRM 2.0).

Beliau menyifakan ia sebagai salah satu pendekatan penyelesaian secara sukarela kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

"Program Rekalibrasi Migran akan bermula pada Isnin, 19 Mei, bagi memberi peluang kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sah untuk kembali secara sukarela ke negara asal masing-masing." katanya.

JIM menegaskan bahawa walaupun program ini dilaksanakan, operasi penguatkuasaan akan tetap diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan PATI diminta menyalurkan maklumat kepada JIM melalui Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau https://imi.spab.gov.my.

 

 

TETITIA YUSOFF