PUTRAJAYA, 25 September- Sebarang kandungan berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk lagu yang tular akan diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya mendapat arahan untuk berbuat demikian daripada pihak polis.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan beliau juga telah meminta MCMC untuk meneliti dan memantau kandungan berkaitan GISBH di platform media sosial.
"Waktu ini pihak MCMC tidak memaklumkan apa apa tindakan yang diambil terhadap kandungan yang tidak secara langsung berkait dengan isu GISBH, daripada aspek siasatan, MCMC akan mengambil tindakan untuk menurunkan kandungan atau mengarahkan apa apa tindakan kepada platform media sosial sekiranya menerima arahan daripada PDRM.
"Setakat ini, pihak MCMC belum maklumkan kepada saya secara keseluruhan aduan-aduan yang diterima. Saya akan minta MCMC untuk teliti perkara ini," katanya.
Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan GISBH telah beberapa kali berubah entiti dipercayai bagi menyamarkan aktiviti mereka.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan di Putrajaya.
Sementara itu, berkaitan keluhan mengenai waktu daftar masuk (check in) hotel dan inap desa yang berganjak pukul empat petang seperti yang dilaporkan baru-baru ini, Fahmi menjelaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberi ulasan lanjut berkenaan isu tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai tindakan sesetengah hotel atau inap desa yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis tersebut bermula pukul 4 petang dan waktu daftar keluar pada pukul 11 pagi.
Penetapan berkenaan mencetuskan perbincangan pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan itu tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang agak singkat