fb fb fb fb fb

MBM diharap terus jadi ejen perpaduan bentuk pemikiran belia - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Februari - Majlis Belia Malaysia (MBM), diharap dapat terus menjadi ejen perpaduan dalam membentuk pemikiran belia sekali gus membantu kerajaan mencapai lebih banyak kejayaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usia MBM yang mencecah 75 tahun kini, menonjolkan kematangan dan pengalaman majlis itu.

Kematangan itu katanya, harus dijadikan pedoman dalam merangka Visi MBM 2048 yang lebih inklusif dan holistik.

"Semoga MBM dapat terus menjadi kilang melahirkan pemimpin negara, menongkah segala cabaran dengan kebersamaan selain, cekal, bijaksana serta kekal menjadi sebuah majlis yang relevan dan berpengaruh dalam mengangkat suara belia," katanya menerusi antaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menasihati barisan kepimpinan MBM yang diketuai Presidennya, Izzat Afifi Abdul Hamid bahawa pendekatan dan cabaran yang dihadapi kini berubah-ubah mengikut peredaran zaman.

"Di atas bahu kalian (ialah) amanah untuk mencipta agenda yang jelas dan sesuai dengan kehendak generasi masa kini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN