fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan 23 nelayan Vietnam

Ujarnya, kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

PASIR PUTEH, 25 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menahan dua bot nelayan asing warga Vietnam di Tok Bali, Pasir Puteh pada 22 Februari lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata 23 warga Vietnam ditahan berusia 19 hingga 63 tahun dalam Op Damai, Op Naga Barat, Op Iman dan Op Tiris.

"Kedua-dua bot dikesan antara 126 hingga 128 batu nautika dari muara Tok Bali pada pukul 7.22 pagi dan berjaya ditahan pada pukul 8.39 pagi diikuti bot kedua ditahan pada pukul 9.27 pagi.

"Kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara sebelum kapal Maritim Malaysia bertindak memintas bot dan melakukan 'force boarding' untuk menghentikan bot-bot berkenaan.

"Kami merampas 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,000 liter dengan anggaran nilai hampir RM3 juta," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Katanya, dua tekong dipercayai melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Ujarnya, kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM