KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Sepasang suami isteri tidak menyangka kemalangan maut yang mereka lihat sewaktu melalui lokasi kejadian rupanya melibatkan anak perempuan mereka, Syakirah Hanan Mazli, 25.
Bapa kepada arwah, Mazli Yusoh, yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang, hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi anggota polis yang menyiasat kejadian berkenaan.
Dalam nada reda, Mazli berkata beliau menerima ketentuan Ilahi dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
“Saya terima takdir daripada segi hukum, memang kita reda kerana Allah sudah menetapkan perjalanan hidupnya begitu. Tapi dari sudut undang-undang dunia, kita ikut proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, Syakirah Hanan yang juga penuntut sebuah institusi pengajian awam di negeri ini, meninggal dunia selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran JPJ Kuala Terengganu kira-kira pukul 1.38 tengah hari.
Mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk urusan forensik.