fb fb fb fb fb

MBAS umum penilaian semula cukai taksiran berkuat kuasa 2026

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya/RTM

ALOR SETAR, 2 November – Seramai 95,170 pemilik pegangan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerima notis Penilaian Semula Cukai Taksiran baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, penilaian baharu itu menggantikan senarai terdahulu yang dibuat pada tahun 1993, iaitu selepas lebih tiga dekad tidak dikemas kini.

Daripada jumlah keseluruhan, 84,946 pegangan atau 89.26 peratus mencatatkan kenaikan cukai, manakala 10,203 pegangan mengalami penurunan, dan 21 pegangan kekal tidak berubah.

Menurutnya, kadar cukai yang digunakan oleh MBAS berbeza mengikut 13 kategori harta, termasuk kediaman, kediaman kos rendah, perniagaan (seperti kompleks beli-belah, hotel, hospital swasta dan stesen minyak), industri, industri ringan, bangunan persatuan, harta khas serta lot kosong.

Beliau turut menasihatkan pemilik pegangan yang tidak berpuas hati dengan nilai baharu itu agar segera membuat semakan atau bantahan sebelum atau pada 5 November ini.

“Orang yang buat bantahan kami akan buat pendengaran awam memanggil mereka. Mereka akan beri justifikasi, memberi alasan kenapa, kenapa begini. Kemudian selepas itu kami akan angkat semula kepada pihak berkuasa negeri atau kerajaan negeri untuk ditimbang oleh pihak berkuasa negeri.

"Kalau kerajaan pertimbang membenarkan pelaksanaan, maka pada ketika itu barulah kita boleh melaksanakan",katanya demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat MBAS, di sini hari ini, bagi menjelaskan rungutan orang ramai yang mendakwa penilaian semula itu terlalu tinggi dan membebankan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD