fb fb fb fb fb

Fasiliti 'Super Magnet' di Pahang, buka lebih banyak peluang pekerjaan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 2 November - Pahang menyambut baik pengumuman pelaburan RM600 juta dalam projek pembangunan fasiliti pembuatan 'Super Magnet' di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbincangan rasmi projek berkenaan masih di peringkat awal dan akan dimuktamadkan selepas sesi rundingan bersama kerajaan persekutuan serta pihak berkepentingan.

"Kita mengalu-alukan projek tersebut, namun ia tertakluk kepada perbincangan peraturan dan syarat-syarat yang akan ditentukan oleh kerajaan persekutuan. Dan kerajaan negeri mungkin akan memberi pandangan yang berkaitan dengan industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan teks ucapan Perdana Menteri pada Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC JTM Kampus Kuantan, di sini.

Sementara itu, perkembangan sektor industri di kawasan Gebeng, Kuantan menunjukkan peningkatan positif, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Menurut Datuk Seri Wan Rosdy, kawasan berkenaan kini berkembang pesat dan akan berpotensi menjadi hab industri utama bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia.

Bahkan jelas beliau, masalah air di kawasan tersebut sebelum ini sudah diselesaikan.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan projek pembangunan fasiliti pembuatan 'Super Magnet' bernilai RM600 juta oleh JS Link dan Lynas Malaysia di Pahang, berpotensi mengukuhkan kedudukan Malaysia.

Sekali gus mewujudkan potensi baharu dalam industri hiliran bagi nadir bumi.

EZA YUSMAWATI YAACOP