fb fb fb fb fb

MBAS kesan premis kotor, jadi sarang Aedes

Foto Majlis Bandaraya Alor Setar

ALOR SETAR, 28 Jun –Beberapa premis di Taman Wira Blok B, Mergong di sini didapati gagal menjaga kebersihan terutama di bahagian belakang premis sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Kesalahan itu dikesan hasil Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Aedes yang dijalankan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama agensi berkaitan.

Datuk Bandaraya Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata hasil pemeriksaan, pihaknya mengeluarkan lima kompaun di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MPKS 1989.

Daripada jumlah itu, tiga kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 3(1) kerana beroperasi tanpa lesen, manakala dua lagi di bawah Seksyen 25(2) kerana gagal menjaga kebersihan kawasan belakang premis.

Selain itu, satu kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meninggalkan barangan di tempat awam, dan satu lagi notis di bawah Seksyen 3(H) atas kesalahan membiarkan kekotoran di tempat awam.

Dalam operasi sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar turut mengeluarkan dua notis kompaun di bawah Seksyen 13, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 kerana kesalahan membiak serangga pembawa penyakit.

Abdul Gafar turut memaklumkan pemeriksaan berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan bebas Aedes.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD