MOSCOW, 28 Jun – Malaysia kini sedang meneliti secara serius potensi tenaga nuklear sebagai salah satu sumber strategik dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara bagi masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika dilaksanakan, sektor itu berpotensi membuka ruang kerjaya baharu terutama dalam bidang kejuruteraan elektrik dan awam.
“Kalau kita memutuskan, memuktamadkan nuklear sebagai salah satu bidang, ini juga peluang yang ada khususnya bagi mereka yang mengambil bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan awam dan sebagainya untuk beri tumpuan dan diterokai,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Malaysia mungkin hanya dapat menjana loji nuklear pertama dalam tempoh 10 tahun akan datang, namun perancangan awal amat penting bagi menjamin keperluan tenaga jangka panjang..
“Sudah pasti kita akan mencari kaedah bagaimana nak memastikan keterjaminan bekalan tenaga kita untuk kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan akhirnya memastikan alam sekitar dapat kita jaga sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia di Rusia yang diadakan di Moscow, sempena lawatan kerja beliau ke negara itu.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, lawatan ke Rusia membuka ruang kepada Malaysia meneliti secara langsung teknologi, tahap keselamatan dan model pengoperasian loji tenaga nuklear di negara tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru warga Malaysia yang menetap atau menuntut di Rusia agar terus memainkan peranan sebagai duta kecil negara dan memanfaatkan peluang menimba ilmu serta membina rangkaian kerjasama antarabangsa.