YAN, 28 Jun-Sebanyak 132 benih karang berjaya ditanam di perairan Pulau Songsong, di sini sebagai usaha pemuliharaan kawasan terumbu karang serta meningkatkan perlindungan ekosistem pantai.
Aktiviti berkenaan diadakan sempena Program Penanaman Anak Benih Karang, Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok Merambong bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025.
Program itu dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah dengan kerjasama Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara, Komuniti Bot Pulau Songsong serta Infineon Technologies.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, seramai 150 sukarelawan menyertai program tersebut sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pendidikan alam sekitar.
“Aktiviti ini memberi peluang peserta memahami kepentingan memelihara ekosistem marin, khususnya kawasan terumbu karang yang berfungsi sebagai habitat hidupan laut,” katanya.
Kesemua benih karang yang ditanam ditenggelamkan berhampiran kawasan tukun buatan bagi membolehkan pertumbuhan dan pembiakannya secara semula jadi.
Selain itu, sebanyak 30 anak pokok merambong turut ditanam di sekitar kawasan pantai pulau berkenaan bagi mewujudkan habitat sesuai kepada penyu bertelur.
Dalam masa sama, para peserta berjaya mengutip 50 kilogram sampah di kawasan pantai sepanjang program berlangsung.