(Mohd Shukri Ramli)
KANGAR, 6 Ogos- Semua lapisan masyarakat di Perlis diingatkan supaya sentiasa menghormati Jalur Gemilang yang menjadi simbol kebanggaan negara ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kaedah penggunaan bendera yang salah seperti tersilap memasang atau meletakkan bendera di tempat tidak sepatutnya boleh menjatuhkan martabat kedaulatan pada bendera tersebut, sekali gus menjadi penghinaan kepada pemerintah dan warganegara Malaysia.
Masyarakat turut diseru memanfaatkan media sosial secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mesej murni kepada rakan, majikan serta keluarga.
"Selepas pelancaran ini lebih ramai rakyat akan prihatin dan mengibarkan Jalur Gemilang, tanda kebersamaan kita dalam menyambut kemerdekaan pada tahun, insya-Allah.
"Saya juga ambil kesempatan, mahu ucapkan terima kasih kepada premis perniagaan yang telah mula mengibarkan Jalur Gemilang," katanya pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis di Denai Larian Pengkalan Asam, di sini.
Mohd Shukri juga mengalu-alukan seluruh masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja, premis perniagaan atau kenderaan bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara.
Lebih 3,000 masyarakat setempat hadir memeriahkan pelancaran itu dengan pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk program jalan santai, aktiviti sukan dan Konvoi Kenderaan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang disertai pelbagai kaum dan peringkat umur dalam menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini, pelbagai program sisipan juga diatur dan bakal diadakan seperti program kayuhan, Fun Run, forum dan ceramah penghayatan bulan kemerdekaan, perarakan dan kibaran Jalur Gemilang serta Sambutan Hari Kebangsaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis pada malam menjelang tanggal 31 Ogos.
(Mohd Shukri Ramli (kuning) pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang
Peringkat Negeri Perlis di Kangar)