BANGI, 6 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi melaksanakan kajian impak berhubung inisiatif Payung Rahmah dalam masa terdekat.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata kajian impak itu bagi melihat keberkesanan dan kemampanan program-program rahmah yang dilaksanakan sejak januari lalu.
Katanya, kajian itu telah dipersetujui dalam mesyuarat pasca kabinet baru-baru ini.
"Kita mahu memastikan program ini dapat digerakkan secara berterusan kerana ia cukup baik. Jadi kita tengah menilai dan membuat kajian bagaimana untuk kita dapatkan kerjasama lebih banyak pihak.
"Pastinya peranan mereka cukup penting maka kita perlu juga untuk mendengar pandangan serta suara daripada komuniti perniaga untuk memastikan mereka dapat terlibat dengan lebih aktif lagi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Jualan Ehsan RAHMAH (JER) peringkat Selangor, di sini.
Mengulas mengenai kejayaan Program Jualan Rahmah selepas hampir setahun dilaksanakan, Armizan berkata setakat 31 Julai lalu seramai 2.1 juta pengunjung direkodkan di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM57 juta.