PULAU CAREY, 6 Ogos - Seramai 200 pekebun kecil Orang Asli digalak menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) yang menawarkan faedah bagi meningkatkan produktiviti penanaman sawit.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini bagi memastikan masyarakat Orang Asli berpeluang menikmati pelbagai inisiatif dan bantuan yang disalurkan kerajaan.
"Koperasi ini boleh membantu dari segi menambah pendapatan mereka supaya mereka boleh membeli misalnya baja secara pukal. Apabila membeli secara pukal ianya lebih murah dan ini sudah pasti dapat membantu input pertanian itu di peringkat harganya yang lebih memberi pendapatan tambahan kepada warga Orang Asli dan kepada ahli-ahli koperasi tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sembang santai bersama pekebun kecil sawit negeri Selangor, di sini.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan komoditi berkata pihaknya turut mencadangkan pelaksanaan integrasi pertanian di kalangan pekebun kecil Orang Asli bagi membantu mengukuhkan sumber pendapatan tambahan sekaligus membantu menyumbang kepada bekalan makanan negara.