(Roshidah Ahmad (kiri) pada Jualan Agro Madani di PPK Titi Tinggi bersempena Sambutan Hari Peladang,
Penternak dan Nelayan Ke-48 di Padang Besar, Perlis)
PADANG BESAR, 6 Ogos- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis akan terus memainkan peranan dalam usaha memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Agro Madani di seluruh Perlis bagi membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup, di samping meningkatkan pendapatan usahawan agromakanan dalam kalangan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan.
Sasaran sebanyak lapan program Jualan Agro Madani melibatkan enam pertubuhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga September ini mampu dicapai dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk ahli dan usahawan PPK.
Pengarah LPP negeri, Roshidah Ahmad berkata, sehingga kini sebanyak lima Program Jualan Agro Madani telah dilaksanakan dengan melibatkan lebih 20 usahawan dibawah PPK dengan nilai jualan mencecah RM112,000 yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 ahli PPK.
Program Jualan Agro Madani mampu menjamin ketersediaan bekalan agromakanan dan memberi pilihan kepada ahli PPK mendapatkan bekalan agromakanan pada harga berpatutan.
Sehingga kini, sambutan yang diterima daripada ahli PPK setiap kali Jualan Agro Madani yang berlangsung sangat menggalakkan dan LPP menyasarkan agar kesemua 27,000 ribu ahli PPK menerima manfaat.
"Jadi kebanyakan barang yang dijual merupakan barang pengguna, seperti hari ini, kita ada ayam bismi, sayur-sayuran, buah-buahan dan barang-barang IKS (Industri Kecil Sederhana) daripada ahli peladang.
"(Menerusi) Jualan Agro Madani ini kita ada pengurangan harga daripada 10% hingga 30% bagi membantu ahli-ahli kita di sini dan meringankan beban mereka," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Jualan Agro Madani di PPK Titi Tinggi bersempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Ke-48 di sini yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.
Selain jualan produk agromakanan, turut diadakan pameran dan khidmat nasihat input pertanian dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung.
(Roshidah Ahmad)