fb fb fb fb fb

Vaksin influenza: KKM kaji keperluan kepada golongan berisiko

(FOTO BERNAMA)

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan pemberian vaksin influenza kepada rakyat terutama golongan berisiko sekiranya diperlukan.
 
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata bagaimanapun setakat ini kes jangkitan influenza dalam negara adalah terkawal dan pemberian vaksin di peringkat awal hanya akan melibatkan petugas KKM yang bekerja di barisan hadapan.

(Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa)

"Buat masa ini,kita lakukan untuk kakitangan dahulu kerana mereka adalah pertahanan hadapan. InsyaAllah kalau ada bajet, kita boleh fikirkan juga kemungkinan untuk rakyat yang berisiko, tapi buat masa ini kita beri kepada petugas kesihatan dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir, di sini.

Tambah Dr. Zaliha, fasiliti kesihatan awam yang ada di seluruh negara juga mencukupi bagi menampung jumlah pesakit jika terdapat peningkatan kes influenza dalam masa terdekat.

"Berdasarkan data KKM untuk minggu epidemiologi ke-30 pada tahun ini, kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) di Klinik Kesihatan adalah 6.3 peratus, menurun berbanding minggu sebelum itu iaitu 6.4 peratus.

"Kadar kemasukan ke hospital pula adalah 7.1 peratus, juga sedikit menurun. Kes ada tapi setakat minggu akhir ini menurun dan keadaan terkawal," katanya.

Media Baharu