(FOTO JBPM)
SHAH ALAM, 26 Mei- Mayat seorang anggota tentera laut ditemukan orang awam di dalam parit berhampiran Hotel Sri Bernam, Sabak Bernam.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan, mayat Mohamad Khair Mahat, ditemukan dalam Perodua Kelisa oleh orang awam yang memotong rumput di kawasan kejadian dan kereta tersebut dipercayai telah terbabas ke dalam parit berkenaan.
Beliau berkata pihak bomba bertindak mengeluarkan mayat itu setelah kereta tersebut dinaikkan dari parit yang berkedalaman dua meter menggunakan jentolak, susulan panggilan yang diterima pada 4.23 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat.
Kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada 21 Mei lepas sekitar pukul 4.00 hingga 5.00 pagi dan sebelum kejadian, mangsa telah bertolak dari Jempol lebih kurang 12.05 tengah malam menuju ke tempat kerjanya di Lumut.
Mangsa dipercayai telah gagal mengawal kereta yang dipandunya lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit tersebut.
Isteri mangsa telah membuat laporan polis keesokan harinya pada pukul 8.54 pagi di Balai Polis Bandar Seri Jempol setelah dimaklumkan mangsa tidak hadir bertugas di markasnya dan gagal dikesan.
(FOTO JBPM)