PUTRAJAYA, 26 Mei- Pengurusan membawa balik jenazah warganegara Malaysia yang terkorban dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest iaitu Allahyarham Lt. Kol (PA) Ag Askandar bin Ampuan Yaacub, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata jenazah mangsa akan diterbangkan dari Kathmandu menggunakan pesawat MH115 pada 26 Mei 2023 (Jumaat) pukul 11.30 malam (waktu tempatan) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Mei 2023 (Sabtu) pukul 6.25 pagi (waktu tempatan).
"Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MH2646 pada pukul 11.35 pagi, 27 Mei 2023 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 2.15 petang.
"Seterusnya, atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah", katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah Datuk Armizan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kg. Benoni untuk disemadikan mengikut upacara istiadat penghormatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sebelum ini, media melaporkan Awang Askandar meninggal dunia selepas berhadapan masalah kesihatan ketika berada pada jarak 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan puncak Everest yang hanya memerlukan kira-kira 20 minit sampai ke puncak.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali/FOTO RTM)