fb fb fb fb fb

Mayat pelajar UiTM ditemukan pagi tadi

KUANTAN, 8 Januari- Mayat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang hilang ketika mandi di Pantai Cherating, Kuantan semalam ditemukan pada pukul 7.30 pagi tadi.

Mayat mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18 , ditemukan kira-kira 8.6 kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam yang sedang beriadah di Pantai Cherating.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan memakai singlet berceloreng hijau dan seluar pendek berwarna hitam.

Pihak polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal kepada mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan dan perkara mencurigakan yang berunsurkan jenayah.

Semalam, mangsa dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi di Pantai Cherating.

Mangsa dikatakan datang bersama 19 rakannya ke pantai itu kira-kira jam 1.30 petang semalam untuk berehat dan berkelah.

Bagaimanapun ketika mereka mandi sambil bermain di dalam air, ombak tinggi tiba-tiba datang merempuh kumpulan pelajar itu.

Mangsa dipercayai terpisah daripada kumpulan rakannya apabila dibawa arus ke tengah laut sebelum hilang manakala yang lain berjaya menyelamatkan diri.

(Mayat Adam Ridhuan Abdul Rejab ditemukan 7.30 pagi oleh orang awam)

Media Baharu