fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tumpaskan sindiket seludup daun ketum guna lori simen

(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menunjukkan bungkusan hitam berisi daun ketum 
yang dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM20,000) 

KOTA BHARU, 8 Januari - Taktik licik satu sindiket yang menyeludup masuk daun ketum ke Kelantan menggunakan lori simen tumpas selepas kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa awal pagi semalam.

Susulan kejadian sekitar pukul 4 pagi di Batu 6, Batu Melintang, Jeli itu, dua lelaki iaitu pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 28 tahun ditahan polis.

Sebanyak 200 bungkusan hitam berisi daun ketum membabitkan nilai keseluruhan RM20,000 turut dirampas.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, tangkapan itu dilakukan selepas pegawai dan anggota yang membuat Ops Rondaan mendapati lori simen berkenaan dalam keadaan mencurigakan apabila berlaku pergerakan awal pagi.

"Pada siasatan awal dengan pemandu dan kelindan ini, kecurigaan kepada kenderaan ini semakin ketara dan pemeriksaan rapi telah dibuat dan hasilnya kita menemukan beberapa bungkusan seperti dilihat mengandungi daun ketum di dalam 'compartment' di bawah 'tanker' itu," kata beliau pada sidang media, di sini.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menunjukkan lori simen yang digunakan 
sindiket untuk menyeludup masuk daun ketum ke Kelantan) 

Muhamad Zaki berkata pihaknya percaya bekalan terbabit dibawa dari utara semenanjung untuk pasaran sekitar Kelantan.

Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka juga positif dadah jenis Benzo selain mempunyai dua dan tiga rekod jenayah lampau.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 10 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Kes rampasan seumpama itu merupakan kali kedua melibatkan lori simen selepas kali pertama pada tahun 2021 lalu.

Media Baharu