fb fb fb fb fb

Mayat lelaki yang hilang sejak 10 bulan lalu, ditemukan dalam kereta

(FOTO JBPM PAHANG)

PEKAN, 23 Julai- Mayat seorang lelaki yang hilang sejak 10 bulan lalu, ditemukan di dalam kereta yang terjunam ke sebatang sungai di Jalan Nenasi-Pekan di sini.

Mayat Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24 tahun, ditemukan lengkap berpakaian di dalam sebuah kereta Grand Livina miliknya.

Muhammad Iman Aqmar dilaporkan hilang sejak 29 Oktober tahun lalu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Ibu mangsa, Azmawati Ab. Kadir, 54 tahun, ketika dihubungi berkata, penemuan kenderaan itu disedari orang awam yang melalui laluan tersebut sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.


(Mayat lelaki yang hilang sejak 10 bulan lalu, ditemukan dalam kereta/JBPM PAHANG)

Dia bagaimanapun reda dan menerima ketentuan Ilahi, dan lega kerana jasad anak lelaki sulungnya yang sudah hampir 10 bulan hilang tanpa jejak itu ditemukan.

Tambahnya, sebelum kejadian anaknya sempat balik ke kampung di Pasir Gudang, Johor untuk menjenguk keluarga selain menyatakan hasrat ingin menukar kenderaan.

Selepas keluar dari rumah menuju Terengganu, Muhammad Iman gagal dihubungi sehinggalah mayatnya ditemukan kaku di dalam kereta yang terjunam ke dalam sungai.

Media Baharu