fb fb fb fb fb

Audit forensik cegah penyeludupan minyak masak bersubsidi

KOTA BHARU, 23 Julai- Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, kerajaan sedang melakukan audit forensik terhadap semua syarikat yang diberi lesen pembungkusan minyak masak bersubsidi.

Ini bagi memastikan mereka tidak bersekongkol dalam kegiatan penyeludupan.

"Sebab saya dah sebut dengan tegas kalau semua pihak tidak menunjukkan kerjasama dan saya dapati masih lagi menyeludup minyak masak bersubsidi maka opsyen kita adalah merombak keseluruhan sistem. Buat masa ini kita belum membuat pendekatan itu supaya kita boleh buat satu penyiasatan dulu kalau ada kaedah-kaedah yang tidak terlalu destruktif sebab kita memahami kita tidaklah nak mengganggu orang yang dah ada kilang, ada rangkaian dia sendiri dan saya faham.

"Tapi kalau mereka bekerjasama dalam membenarkan barangan mereka diseludup maka tidak dapat tidak sistem itu saya terpaksa rombak," kata Annuar kepada pemberita selepas melawat Karnival Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

(Tan Sri Annuar Musa ditemu bual selepas melawat Karnival Digital Kementerian Komunikasi
dan Multimedia bersempena JAKM Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV)


Tambah Annuar, keutamaan kerajaan ialah memastikan rakyat mendapat faedah hasil daripada program-program dilaksanakan kerajaan.

Sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan baik, ia mungkin menimbulkan kesusahan kepada rakyat.

“4 bilion jadi kalau yang 4 bilion itu pergi ke Thailand atau Indonesia tak adil pada rakyat sebab 4 bilion tu jugak rakyat mesti sampai pada rakyat. Tapi saya tidak nak terlalu keras saya kata itu adil kita buat audit forensik,” katanya.

Media Baharu