fb fb fb fb fb

Kanak-kanak didera keluarga angkat diletak bawah penjagaan JKM

ALOR SETAR, 23 Julai- Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan didera oleh keluarga angkatnya di Beranang, Selangor akan diletak bawah penjagaan dan tempat selamat sehingga kes perbicaraan mahkamah selesai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pelindung kanak-kanak telah hadir melawat kanak-kanak tersebut yang kini menerima rawatan di hospital.

Beliau berharap kanak-kanak itu kembali sihat dan memuji tindakan masyarakat yang cakna keadaan sekeliling dengan membuat aduan kes tersebut.

"Insya-Allah kita akan beri perlindungan kanak kanak ini dan kanak kanak ini telah dibawa ke pusat penyiasatan untuk dapatkan maklumat dan sebagainya. Pelindung kanak kanak kita pun ada bersama sekali supaya kita dapat menjaga kanak kanak ini dengan lebih baik lagi.

"Saya nak ucapkan terima kasih atas tindakan orang awam yang membuat laporan sebegitu. Jadi inilah dalam kehidupan masyarakat salah satu Keluarga Malaysia untuk tunjukkan masyarakat lebih prihatin," kata Rina selepas merasmikan Program Jerayawara dan Karnival Wanita Bangkit@KPWKM Zon Utara di sini.

(Datuk Seri Rina Harun berucap pada majlis Program Jerayawara dan Karnival Wanita
Bangkit@KPWKM Zon Utara di Alor Setar/FB RINA HARUN)

Polis telah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak yang dipercayai dipukul dengan batang penyapu.

Pengadu kes ini seorang lelaki berusia 20 tahun membuat laporan bahawa mangsa yang merupakan anak angkat kepada suami isteri terbabit, dicederakan atau didera oleh pasangan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kes penderaan boleh membuat laporan polis atau hubungi Talian Kasih 15999.

Media Baharu