fb fb fb fb fb

Mayat tidak sempurna dipercayai dibaham harimau

FOTO HIASAN

GUA MUSANG, 30 November- Seorang pekerja ladang warga Indonesia maut dengan keadaan mayat ditemukan tidak sempurna dipercayai dibaham harimau di ladang getah Kampung Kuala Tol di Gua Musang, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Syabaini, 36, ditemukan di kawasan cerun pada pukul 5.30 petang.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 1.30 petang daripada ketua ladang memaklumkan pekerjanya dibaham binatang buas dipercayai harimau.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan terdiri daripada anggota polis, kakitangan Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Gua Musang dan penduduk setempat.

SAR dijalankan selama kira-kira sejam di tempat kejadian dan menemukan mangsa sekitar 200 meter dari lokasi motosikalnya.

"Ketika ditemui, mangsa telah meninggal dunia dalam keadaan jasad tidak sempurna di kawasan cerun di dalam hutan.

"Mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan SAR pada pukul 6.16 petang dan tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang pukul 7.00 malam untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan.

Sik Choon berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, pihak PERHILITAN akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan serta menangkap harimau tersebut.

Polis turut menasihatkan masyarakat setempat yang keluar bekerja supaya bergerak secara berkumpulan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

SITI AISHAH BINTI MD ISA