fb fb fb fb fb

Mayat ditemukan dalam MPV disyaki lelaki yang dilaporkan hilang

(JBPM PAHANG)

PEKAN, 23 Julai- Mayat lengkap berpakaian yang ditemukan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Sungai Api-Api Polis di Nenasi, Pekan dipercayai lelaki yang dilaporkan hilang lebih 10 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi berkata, MPV Nissan Grand Livina itu telah ditarik keluar dari sungai.

Ia dijumpai seorang lelaki warga emas ketika mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan.

Siasatan awal mendapati nombor pendaftaran MPV itu ada kaitan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga kepada individu bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain.

"Mayat tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

"Manakala kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut," kata Mohd Zaidi ketika dihubungi RTM.

(Mayat ditemukan dalam MPV disyaki lelaki yang dilaporkan hilang)

Pada 30 Oktober tahun lalu, seorang wanita, Asmawati Kadir, 55 tahun, membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya, Muhammad Iman Aqmar, 24, yang gagal dihubungi selepas keluar rumah di Johor kira-kira jam 1:00 pagi, 29 Oktober 2021 untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Ketika itu, Muhammad Iman Aqmar dikatakan memandu MPV Nissan Grand Livina seorang diri.

Ahli keluarganya memuat naik gambar mangsa serta kereta itu di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mencarinya.

Media Baharu