KANGAR, 23 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus menjalankan program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), bagi membantu meringankan bebanan sara hidup Keluarga Malaysia.
Di Perlis, program diadakan secara dalaman dengan kerjasama beberapa pasar raya mini dan premis bawah agensi kerajaan.
Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar berkata, dalam situasi kenaikan harga barang masa kini, PJKM dilihat sangat membantu rakyat terutamanya mereka yang masih terbeban selepas pandemik.
Bagi memudahkan masyarakat di setiap kawasan, pihaknya menggunakan kaedah yang berkonsepkan dalaman di kesemua tapak PJKM di negeri itu.
(Norazah ditemui selepas meninjau salah satu PJKM yang diadakan di Kangar, Perlis)
"Kita bekerjasama dengan pasaraya pasar raya mini termasuk Agro Bazaar bawah kelolaan FAMA Negeri Perlis. Antara jualan adalah barang proses dan jugak hasil jualan barang segar seperti ayam, sayu sayuran ikan dan juga bawang proses, dan kita wajibkan jualan minyak masak paket, beras, gula dan tepung gandum," kata Norazah selepas meninjau salah satu PJKM yang diadakan di sini.
Orang ramai juga boleh hadir ke kedai yang terpilih sehingga esok bagi mendapatkan pelbagai barangan dengan harga lebih murah.