fb fb fb fb fb

Mayat bayi perempuan ditemukan terdampar di Pantai Queensbay

Foto Ihsan PDRM

GEORGE TOWN, 3 Disember- Mayat seorang bayi perempuan ditemukan terdampar di kawasan persisiran Pantai Queensbay, Bayan Baru, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata siasatan awal mendapati mayat itu dipercayai dihanyutkan arus laut sehingga terdampar di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Jelas beliau, laporan berkenaan perkara itu diterima dari orang awam pada pukul 5.55 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 22 saat memaparkan beberapa orang awam menemui mayat bayi yang didapati terdampar di atas batu persisiran Pantai Queensbay.

Sebelum itu, orang awam dipercayai terhidu bau busuk di kawasan berkenaan.

Susulan itu, beliau meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM